Kebangkitan Intelektual Islam Sepanyol juga telah mewarnai zaman Pertengahan Eropah yang menyumbangkan zaman renaisans Eropah.Kesarjanaan Ibn Rushd,Ibn Hazm,Ibn Firnas,Ibn Tufail,al-Zahrawi dan lain-lain tokoh sains dan teknologi Islam Sepanyol atau Andalus telah terpahat di dada sejarah intelektual.Kejatuhan Sepanyol Islam bererti bermulanya kebangkitan Eropah Kristian Moden yang diikuti dengan kemunculan Zaman Moden.
Perluasan wilayah Islam (al-Futuhat al-Islamiyyah) di Afrika dan Sepanyol telah berlaku pada zaman pemerintahan Bani Umayyah terutama dalam era pemerintahan Abdul Malik bin Marwan (685-705M) dan puteranya Al-Walid bin Abdul Malik (705 -715M).Misi perluasan wilayah Islam di kedua-dua benua Afrika dan Eropah telah dijayakan oleh panglima-panglima Islam yang berkaliber.Antaranya ‘Uqbah bin Nafi’,Maslamah,Hasan bin Nu’man al-Ghassani,Musa bin Nusair dan Tariq bin Ziyad.